
YBHG. DATUK MOHD NASIR BIN ALI
Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera,
Dengan penuh kesyukuran, saya ingin mengalu-alukan kehadiran para pengunjung ke laman web rasmi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP). Laman ini bukan sekadar platform maklumat tetapi juga menjadi wadah utama dalam memperkukuhkan peranan MSWP sebagai peneraju pembangunan sukan di Wilayah Persekutuan.
Sebagai badan sukan yang bertanggungjawab menggerakkan pembangunan atlet dan program sukan di tiga kawasan pentadbiran utama – Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan – MSWP sentiasa komited dalam memastikan ekosistem sukan yang inklusif, progresif dan berdaya saing. Dalam era digital ini, penyebaran maklumat yang pantas dan tepat amat diperlukan dan laman web ini adalah salah satu inisiatif untuk memenuhi keperluan tersebut.
MSWP bukan hanya sebuah institusi tetapi juga sebuah keluarga besar yang terdiri daripada atlet, jurulatih, pegawai dan komuniti sukan yang sentiasa bersatu dalam usaha membina kegemilangan sukan Wilayah Persekutuan. Dengan semangat #WiJUARA, kita akan terus bergerak ke hadapan dengan semangat kesukanan yang tinggi serta komitmen yang tidak berbelah bahagi.
Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan dan kemajuan MSWP. Kejayaan tidak datang dengan mudah tetapi melalui usaha berterusan, sokongan padu dan kesatuan yang kukuh, saya yakin kita mampu melahirkan lebih ramai atlet bertaraf tinggi yang mengharumkan nama Wilayah Persekutuan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Akhir kata, saya berharap laman web ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak sebagai sumber informasi dan rujukan. Segala cadangan dan maklum balas daripada anda amat dialu-alukan demi meningkatkan mutu penyampaian maklumat dan perkhidmatan MSWP.
Terima kasih dan selamat melayari laman web rasmi MSWP!
PENGERUSI
MAJLIS SUKAN WILAYAH PERSEKUTUAN