PICOMS buka peluang atlet Wilayah Persekutuan melanjutkan pengajian
KUALA LUMPUR: Seiring dengan hasrat dalam membantu memastikan kebajikan atlet terjamin, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) bekerjasama dengan Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS bagi memberi lebih peluang kepada atlet Wilayah Persekutuan melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.
Pengerusi MSWP, Datuk Ramlan Askolani dalam ucapannya berkata kerjasama strategik antara MSWP dan PICOMS ini adalah bertepatan dengan Program WiPers ACE (WiPers Athlete, Career and Education) dalam membantu lebih ramai atlet Wilayah Persekutuan melanjutkan pengajian.
“MSWP sentiasa komited dalam membantu atlet kami dengan mencari Rakan Strategik yang dapat membantu dan memudahkan atlet-atlet WiPers untuk menyambung pengajian dalam bidang yang diinginkan.
“Di bawah program WiPers ACE ini, kami mahu menjaga kebajikan atlet dengan memberi sokongan tambahan kepada atlet Wilayah Persekutuan dalam tiga bidang utama iaitu pendidikan, kerjaya dan kebajikan bagi memastikan mereka mempunyai masa depan yang lebih cerah,” katanya dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan di kampus PICOMS Batu Muda pada Jumaat lalu.
Turut hadir ialah Naib Canselor PICOMS, Prof Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman, Pendaftar PICOMS, Norita Arshad dan juga Pengarah MSWP, Dr Hasnul Faizal Hushin Amri.
Ramlan juga berkata di bawah cabang Pendidikan di dalam WiPers ACE, MSWP menyediakan peluang untuk mengadakan siri taklimat, ceramah, bengkel dan kursus kepada para atlet bagi mempersiapkan diri mereka untuk menyambung pengajian di peringkat Diploma mahupun Ijazah.
“Saya percaya kerjasama antara Kolej Antarabangsa PICOMS dan juga MSWP yang bakal dijalinkan menerusi MoU sebagai Rakan Strategik akan dapat membantu dalam memastikan kebajikan dan masa depan atlet WiPers dibela menerusi tawaran Biasiswa Penuh dan Bantuan Am Pendidikan kepada mereka yang layak selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Dr Wan Mohd Azizi berkata PICOMS yang dimiliki sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berkata PICOMS bersedia menawarkan biasiswa kepada atlet Wilayah Persekutuan yang berkelayakan dan juga menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang selepas ini.
“Menerusi program WiPers ACE nanti, saya yakin ramai atlet yang akan layak untuk melanjutkan pengajian di PICOMS,” katanya.